Apa khabar anda?
Semoga anda berada dalam rahmat dan maghfirah Allah SWT.
Sesungguhnya saya memuji Allah SWT atas peluang dan ruang yang masih Dia berikan kepada kita, peluang kehidupan yang diteruskan tanda bahawa Allah SWT masih cinta. Mungkin kita patut bertanya kepada diri kita satu persoalan:
“Kalau mati semalam bagaimana?”
Ya. Apakah jawapan kepada soalan itu?
Apakah jawapan?
Hanya diri kita sendiri tahu untuk diri kita. Kerana kita tahu apa yang kita telah lakukan.
Dan saya yakin, syurga bukanlah jawapan. Kerana kita hambaNya yang alpa, lalai, dan banyak dosa. Maka jika syurgaNya bukan jawapan kepada persoalan tadi, nyata tindakan Allah SWT menghidupkan kita pada hari ini adalah tanda Dia masih cinta.
Rasa berdosa di dalam jiwa, itu juga tanda Dia masih cinta.
Maka muncul satu lagi persoalan.
Bagaimana pula kita dalam membalas kasih dan cintaNya ini?
Ya.
Mari kita duduk renung sejenak pada hari baru yang Allah SWT berikan kepada kita. Hari ini. Ya. Saat anda sedang membaca email ini, dan saya yang sedang menulis ini mengajak diri saya, mari kita muhasabah. Hari ini dengan apakah hendak kita isi?
Setelah Allah bangunkan kita, setelah Allah beri lagi peluang kepada kita, maka hari ini apa yang hendak kita lakukan?
Bukankah teramat kurang ajar jika hari baru ini sekadar kita isi dengan dosa-dosa semalam, pengulangan keingkaran lalu, dan terus-terusan berkeras untuk tidak tunduk kepadaNya?
Mengapakah kita tidak mula merancang, bergerak untuk berubah, walaupun sedikit, bermula hari ini?
Ya. Kadangkala kita terlupa akan sikap kita, perangai kita, akhlak kita dengan Allah SWT.
Sedangkan Dialah yang hendak memberikan syurga dan neraka kepada kita.
Dialah yang menghitung amalan kita.
Dialah yang menentukan hidup dan mati kita.
Maka bagaimanakah hubungan kita denganNya?
Bagaimana solat kita?
Bagaimana Al-Quran kita?
Bagaimana penjagaan kita terhadap hukum-hakamNya, perintah dan laranganNya dalam seharian kehidupan kita?
Apakah hari baru ini, hari ini, kita sekadar mengulang kesilapan yang sama? Atau kita memilih untuk berubah?
ENTRY ini memberikan peringatan ini. Sementara kita masih ada nyawa, dan matahari belum terbit dari barat. Agar kita tidak termasuk dalam golongan yang rugi di akhirat.
Semoga kita terus menjadi yang lebih baik hari demi hari.
Menjadi hamba Ilahi Yang Sejati!
1 1000 something to say:
@cerita besttq, pakjoe...t sy melawat blog kamu yer
Post a Comment
anda boleh komen, kritik, atau bagi cadangan di sini, komen-komen yang berbentuk peribadi tidak akan dilayan..
terima kasih.