-->

12.11.11

Home » » Qudwah himmah

Qudwah himmah


Salam penuh himmah buat semua, semoga kita semua dalam payungan dan rahmat Kasih Sayang & Inayah Allah SWT.

Alhamdulillah, segala puji dan pujian bagi Allah SWT atas segala kurniaan dan nikmat yang dianugerahkan kepada kita semua. Dialah yang memberikan kekuatan dan ruh himmah untuk terus kuat dan istiqamah untuk melaksanakan tuntutan deen ini. Semoga diri kita, pada hari dan hari mendatang akan terus mara dan lebih perkasa.

Inspirasi Himmah dalam hidup

Saya secara peribadi pernah melalui zaman-zaman kemurungan dan kesesakan jiwa akibat ujian-ujian yang menimpa diri. Terasa seperti petir yang menanah diri dan batu yang besar jatuh menghimpit ketenangan yang ada.
Air mata mengalir membasahi pipi, tanda jiwa benar-benar sedih, hiba dan tersiksa.
Nafas sesak, menghimpit dada dan seolah-olah dunia yang terbentang luas ini begitu sempit untuk dijelajahinya.
Kesedihan, kecewa, keputusasaan, hilang semangat serta keyakinan diri mulai menyelubungi kehidupan saat itu. Kehidupan yang sebelum ini ceria dan bahagia – bertukar menjadi hambar dan muram durjana!
Suatu hari saya adukan dan luahkan perasaan yang tertusuk dan kepedihan itu kepada seorang sahabat saya. Suara yang sebak-sebak dan penuh emosi itu membuatkan jiwa saya benar-benar menyatakan segala isi hati yang ada.
Sahabat saya itu tenang dan begitu tekun mendengarnya. Tangannya mengusap dan memegang bahu saya dan seraya berkata dengan penuh lemah lembut. Kata-katanya menyapa cuping telinga saya.
“ Apa perasaan sekarang ,selepas berkongsi masalah?,” Tanyanya.
“ Sedikit lega dan rasa lapang,” Jawab saya dengan emosi terkawal.
“ Sahabat, Allah SWT benar-benar sayangkan anta. MasyaAllah,” Kata-kata menyusuk kalbu.
“ Jika dirundung sebarang ujian, mehnah dan dugaan di dunia ini, imbaslah kembali sirah dan pengorbanan Rasulullah SAW. Rasulullah SAW adalah insan yang paling banyak diuji oleh Allah SWT. Dan, kita ambil pengajaran daripada kehidupan baginda dalam soal ini. Bagaimana Rasulullah SAW menghadapi semua ini?,” Ujarnya bersahaja kepada saya.
Saat itu, jiwa saya terbangun dan terbangkit. Bagaikan satu aura dan tenaga yang menyentap relung perasaan – “ Bagaimana Rasulullah SAW menghadapi semua ini?”
Jika dibandingkan saya dengan Rasulullah SAW – baginda telah melalui satu kehidupan yang dipenuh dengan ranjau yang sangat memeritkan, relung-relung kesusahan dalam menegakan dakwah kepada Allah SWT, susur galur pengorbanan yang sangat luar biasa dan baginda telah menghabiskan seluruh kehidupan baginda untuk jalan yang sangat sukar, getir dan penuh mainan perasaan.
“ Rasulullah SAW adalah insan dan hamba Allah SWT yang sangat tabah, cekal dan tinggi kesabarannya. Kita ambil sunnah ini,” Kata-katanya yang pendek itu sangat bermakna.

“ Rasulullah SAW mempunyai himmah yang sangat tinggi. Baginda adalah qudwah (contoh) yang terbaik buat kita”
Saya mengangguk setuju. Ya. Baginda adalah qudwah dalam segala aspek.

“ Sesungguhnya telah ada pada (diri) Rasulullah itu suri teladan yang baik bagimu (yaitu) bagi orang yang mengharap (rahmat) Allah dan (kedatangan) hari kiamat dan dia banyak menyebut Allah.” [1]Pengorbanan Baginda – Hanya untuk kita!
Saya berhenti sejenak. Membayangkan keperibadian, kesolehan dan susuk tubuh insan agung ini.
Membayangkan insan yang tidak pernah dilihat, disapa atau disentuh. Tetapi, perasaan cinta dan rindu kepadanya kian membuak-buak.
Rasulullah SAW telah mewakafkan kehidupan baginda untuk dakwah dan tarbiyah.
Menyeru kepada kebaikan dan kebenaran.
Mendidik dengan didikan Al-Quran serta sentuhan keinsanan.
Jiwanya, perasaannya, hatinya, dan segala-galanya adalah untuk dakwah.
Inilah pengorbanan yang sangat tinggi nilainya malah tiada tolok bandingannya dalam sejarah dunia.
Bahkan, pengorbanannya diluar batas kemanusiaan.
Kenapa baginda lakukan semua ini?

Bukankah semuanya dikorbankan untuk kita? Untuk keimanan sampai ke hati-hati kita,untuk kita mengenal Allah sebagai Ilah dan Rabbdan untuk kita selamat dari azab neraka Allah SWT.

Cuba kita bayang peristiwa di Ta’if. Setelah begitu hebat dakwahnya ditentang di Mekah, Baginda berangkat ke Ta’if dengan seribu harapan. Tidak ada unta yang menjadi tunggangan Baginda melainkan Keimanannya pada Allah SWT, Tidak ada tongkat melainkan Roja’nya pada Allah dan tidak ada bekalan selain Taqwanya pada Allah SWT.
Bagaimana pula layanan penduduk Ta’if yang merupakan tetangga Halimaton Sa’diah, ibu susuan Baginda? Apa yang mereka lemparkan pada tubuh Baginda? Saidina Zaid menjadikan dirinya sebagai benteng lalu hampir-hampir kepalanya pecah. Darah-darah baginda SAW mengalir dari betis-betisnya lalu membasahi bumi Ta’if. Adakah Baginda doakan kebinasaan kepada mereka yang begitu membencinya?

Mungkin tidak ramai yang benar-benar menelusuri liku-liku kehidupan Baginda hingga kita benar-benar tersentuh dan mampu menangis untuk Rasulullah SAW. Kita mungkin terlalu sibuk untuk benar-benar mengenali Baginda, terlalu sibuk untuk menghayati liku-liku hidup Baginda, lalu air mata kita terlalu mahal untuknya. Sekiranya kita menelusuri sirah hidupnya, menjiwai setiap pengorbanan dan keperitannya untuk keimanan itu sampai pada hati-hati manusia maka kita tentunya akan menangisi Baginda SAW.
Baginda bersabar dan bersabar. Pernah saya mendengar sirah ini daripada seorang Murabbi, berlinangan air mata kami apabila kisah ini dibentang dengan penuh keimanan, penghayatan dan keinsafan.

MasyaAllah.

Ketika para sahabat mengalami zaman-zaman kesusahan dan kegentingan, mereka terus mendokong dan bersama-sama baginda Rasulullah SAW. Tiada tawaran dan jaminan berbentuk kemewahan atau apa-apa yang besifat keduniaan dan berkepentingan berpihak kepada mereka.
Namun, dengan keimanan dan keyakinan yang membulat kepada Allah SWT – mereka sanggup mengharungi semua ini dengan kesabaran, keteguhan, ketabahan dan semangat yang menjulang tinggi.

Daya juang yang tinggi

Inilah sirah, kisah dan sejarah yang sangat-sangat ajaib. Dunia kehairanan melihat manusia-manusia dan sekelompok insan yang lahir daripada madrasah Rasulullah SAW yang luar biasa ini. Terpukau, tersihir dan terkesima dengan perjalanan kehidupan mereka.
Keaktifan mereka, jalinan ukhuwah yang erat, semangat kerjasama yang sangat utuh, semangat gerak kerja yang bersungguh dan sifat kreatif serta dinamik dalam melaksanakan usaha-usaha dakwah.
Semangat juang yang menguasai segenap jiwa mereka, kekentalan dalam perjuangan dan ruh ukhwah fillah yang mengikat hati-hati mereka telah melahirkan satu ketamadunan yang sangat hebat di mata dunia.
Siapakah insan yang mengemudi pusat didikan yang tersohor dalam sejarah peradaban dan mendidik generasi terbaik ini?

Ya. Benar.

Dialah Rasulullah SAW.
Rasulullah SAW adalah insan dengan sejuta keistimewaan. Keistimewaannya yang paling menginspirasikan saya ialah baginda adalah seorang insan yang dipenuhi semangat ruh himmah yang tinggi serta berwawasan jauh kehadapan.
“ Baginda tidak pernah putus asa dan jemu dalam menyampaikan dakwah. Malah usaha-usaha baginda diteruskan walaupun mendapat tentangan yang sangat hebat daripada kaumnya sendiri.” Sahabat saya memberikan kesimpulan.
“ Usahlah rasa terbeban atau terhina dengan ujian-ujian dunia, tabahkan hati dan kuatkan himmah dalam hati. InsyaAllah – anta boleh!,” Katanya tersenyum senang.
“ Syukran, syukran, syukran.” Kata saya dengan penuh kesyukuran kepada Allah SWT dan terima kasih atas nasihat yang sangat berguna ini.

Penutup – Komentar seorang hamba

(1)    Keimanan dihati seorang mukmin harus subur dengan kecintaannya kepada baginda Rasulullah SAW. Hatinya sensitif dan peka untuk mengikuti, mengamalkan dan mengayakan segala corak kehidupan Rasulullah SAW bermula dari aspek yang kecil-kecil sehinggalah ke aspek yang berskala besar. Daripada hal-hal sunnah yang kecil seperti menyimpan janggut, meniru cara baginda tidur sehingga mengerakan sunnah baginda yang terbesar iaitu melaksanakan dakwah dan tarbiyah!
(2)    Peruntukan masa untuk membaca dan mengambil ibrah daripada kisah perjuangan baginda SAW untuk kita menanamkan cinta dan rindu kita kepadanya. Semoga sedikit cebisan kisah ini akan menyegarkan pohon cinta kita kepadanya. Marilah kita sirami pohon iman ini dengan menghayati sirah baginda diwaktu-waktu yang berharga ini. Semoga air mata kita tidak lagi terlalu berharga untuk Baginda Rasulullah SAW.
(3)    Jika diuji dengan pelbagai ujian, mehnah, cabaran dan dugaan – jadikanlah baginda Rasulullah SAW sebagai inspirasi, motivasi, contoh dan qudwah. Bagi saya, baginda telah menunjukan contoh yang sangat mengujakan dalam soal himmah, kesungguhan, kecekalan, keseriusan dan keteguhan dalam menegakan kebenaran yang sebenar.
——————————————————-
[1] Surah Al-Ahzab (33) : 21



Dah baca,click banner disidebar ni yer..TQ

0 1000 something to say:

Post a Comment

anda boleh komen, kritik, atau bagi cadangan di sini, komen-komen yang berbentuk peribadi tidak akan dilayan..
terima kasih.

Related Posts with Thumbnails