pic credit to iluvislam
Terlalu sunyi kehidupan ini tanpa kehadiran seorang sahabat yang sejati.
Bertambah sunyi tanpa sesiapa yang menemani. Dalam mengharungi
keindahan berteman dan bergembira, tentunya ada tercalit sedikit sebanyak sembilu yang terbenam di jiwa. Namun, biasanya sahabat akan terus memendam rasa demi persahabatan yang dicinta. Diamnya penuh doa agar persahabatan akan berlangsung dengan lebih sempurna. Sebarang kekurangan akan bisa diperbaiki segera.
Tatkala berteman, jagalah tutur kata. Bergurau menambah ceria, namun terlebih gurau juga kan menukar rasa. Kita jangan samakan sahabat kita seperti kita. Mungkin sesuatu yang boleh kita terima dan kita anggap simple, namun baginya sesuatu yang sensitive yang boleh mengundang sedikit hampa.
Selami hati sahabat kita, sepertimana kita mahu dia memahami kita dan menjauhi perbuatan-perbuatan yang tidak kita suka.
Seorang sahabat akan menerima segala baik buruk yang ada pada diri sahabatnya. Kerana dia tahu, sahabatnya itu tidak sempurna dan sahabatnya itu memerlukan dia untuk sama-sama memperbaiki sebarang cela. Jika kita hanya mencari kesempurnaan untuk menobatkan seseorang sebagai sahabat, kita sedang mencari bayang-bayang hitam yang sememangnya tidak akan pernah tergenggam.
Kau punya cara dan dia jua.
Janganlah kita mempersenda atau memperlekehnya hanya kerana caranya yang sedikit berbeza atau sedikit pelik berbanding orang lain. Hormati caranya selagimana ia tidak menyalahi apa-apa. Biarlah dia dengan sifat diamnya, kita tidak boleh memaksanya membuka mulut menjadi seperti yang kita suka. Atau biarlah dia dengan kegirangannya,dan kita boleh untuk tumpang ceria.
Dan, paling penting.. seorang sahabat tidak akan pernah membuka cerita tentangmu kepada teman-teman yang lain. Dalam erti kata lain, mengumpat! Sahabat akan selalu melindungi sahabatnya dari menjadi buah mulut orang lain. Menegur tidak salah malah itulah tanda cinta.
Tapi, bagaimana caranya? Ajak dia berbincang dengan baik, bersemuka dua muka, dan bagitahu sedalamnya apa kesalahan yang telah diperbuat. Bukannya kita mencari kesalahannya dan membuka sesi bual bertopikkan dia.
Jika sama-sama cuba mencari jalan penyelesaian, itu tidak mengapa. Perindahkan cara supaya tiada hati yang akan terluka. Apa guna persahabatan yang di luaran memang rapat tidak berjauhan, tetapi di hati menyimpan sesalan dan cemuhan.
Sahabat itu istimewa, kerana perhubungan sejati kerana Ilahi tidak akan terpisah, berjauhan akan bersambung melalui untaian doa yang tidak sudah, kematian ditemani kiriman-kiriman doa sebagai hadiah, dan inshaAllah bertemu pula nanti di alam syurga yang indah.
0 1000 something to say:
Post a Comment
anda boleh komen, kritik, atau bagi cadangan di sini, komen-komen yang berbentuk peribadi tidak akan dilayan..
terima kasih.